Thursday, February 20, 2020

2.0 BATAS PERGAULAN DAN PANTANG LARANG SETIAP KAUM DARI SUDUT SOSIAL BUDAYA DAN AGAMA DI MALAYSIA

Penduduk Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa. Jumlah penduduk anggaran tahun 2016 ialah 31.07 juta, yang terdiri dari kaum Melayu 68.6%, kaum Cina 23.4%, kaum India 7% serta lain-lain 1%.
Malaysia sebuah negara yang penduduknya terdiri dari pelbagai kebudayaan. Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah berasaskan kebudayaan orang-orang Melayu sebagai rakyat asal rantau ini. Melayu itu sendiri berteraskan ajaran agama Islam. Kebudayaan orang Melayu mengutamakan nilai-nilai sopan-santun, kesederhanaan, keindahan dan keharmonian hidup antara ahli-ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat. Sikap tolak ansur antara kaum juga menjadi pegangan. Semua bentuk kebudayaan serta agama-agama lain adalah sentiasa dihormati. Sambutan hari-hari perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Thaipusam dan lain-lain dianggap sebagai perayaan penting.


2.2 AGAMA


Malaysia terdiri dari penduduknya yang berbagai keturunan dan menganuti berbagai agama, khususnya agama Islam, Buddha, Hindu, di samping lain-lain sistem kepercayaan yang diamalkan oleh berbagai kumpulan etnik yang terdapat di negara ini. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi di Malaysia, sementara agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan bebas.

2.2.1. Islam

Bagi umat Islam, tiga perayaan utama diraikan, iaitu Hari Raya Puasa (Aidilfitri), Hari Raya Haji (Aidiladha) dan Maulidul Rasul. Hari Raya Puasa diraikan bagi menandakan berakhirnya sebulan berpuasa pada bulan Ramadan. Hari Raya Haji (Aidiladha) dirayakan pada hari ke-10 bulan Zulhijjah (bulan Islam) ketika umat Islam yang mengerjakan ibadat Haji di Mekah berada di peringkat akhir ibadah mereka. Pada pagi hari tersebut umat Islam menunaikan sembahyang Hari Raya Aidiladha di masjid-masjid. Mereka yang berkemampuan akan mengerjakan ibadat korban. Perayaan Maulidur Rasul pada bulan Rabiulawal, dirayakan bagi memperingati perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Acara-acara seperti perhimpunan, syarahan dan bacaan berzanji biasanya diadakan.


2.2.2. Buddha

Bagi para penganut agama Buddha, bulan Mei menandakan tibanya Hari Wesak sebagai memperingati tiga peristiwa penting di dalam hidup Buddha, iaitu hari keputeraannya, hari mencapai kemantapan fikirannya dan juga hari kemangkatannya. Di perayaan tersebut, upacara-upacara bersembahyang dan perarakan diadakan.


2.2.3. Hindu

Bagi penganut agama Hindu, Deepavali atau perayaan Cahaya pada bulan Aippasi mengikut kalendar keturunan Tamil (OktoberNovember) merupakan masa untuk kaum keluarga dan sanak-saudara bergembira. la menandakan kemenangan, kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Perayaan bermula dengan upacara sembahyang dan diikuti dengan kunjungan ke rumah sanak saudara. Di waktu malam, pelita-pelita dipasang untuk memeriahkan lagi perayaan. Para penganut agama Hindu di Malaysia juga merayakan Hari Thaipusam pada bulan Januari sebagai penghormatan kepada Dewa Muruga. Di perayaan tersebutlah, Batu Caves yang terletak di Kuala Lumpur menjadi tumpuan para penganut yang membawa persembahan-persembahan di atas kavadi untuk dipersembahkan kepada dewa tersebut.

No comments:

Post a Comment